Friday, July 24, 2009

MENIPU ADALAH SIFAT MUNAFIQ!

Saya sangat pantang apabila ada orang menipu. Sememangnya orang yang berani menipu adalah orang yang paling pengecut dalam dunia nie. Mereka tak berani untuk berhadapan dengan kenyataan serta balasan di atas perbuatan mereka. Menjadi seperti trend, pelajar pada hari ini begitu berani menipu guru-guru sekiranya mereka ada melakukan kesalahan. Walaupun kesalahan itu dilihat sendiri oleh guru, mereka cuba sedaya upaya untuk menafikan perkara yang mereka buat. Langsung tak gentleman! Penakut!!!

Kat rumah, mungkin lebih teruk mereka lakukan. Mereka tipu mak bapak mereka sendiri. Mereka tipu orang yang telah bersusah payah membesarkan mereka daripada tapak kaki sebesar 2 jari sehingga mereka mula mengenal dunia. Kata datang sekolah untuk kelas tambahan, sebaliknya berdating dengan pasangan di hadapan khalayak ramai tanpa rasa segan silu.
Bila ditanya, mereka tahu ia satu kesalahan, tapi sengaja mereka lakukan juga. Mengapa ia terjadi? Mungkin sebab takde yang tegur. Semua orang dah jadi kecut perut. Takde langsung perasaan berani dalam diri untuk melakukan nahi mungkar. Sebab tu insan yang melakukan kemungkaran semakin berani melakukannya walaupun di hadapan khalayak ramai.

Paling menyedihkan, yang melakukannya adalah dalam kalangan mereka yang termasuk dalam kategori dah matang dan pandai berfikir mana baik, mana yang tidak. Tingkatan 4 dan tingkatan 5. Abang-abang dan kakak-kakak. Adik-adik tengok langsung tak rasa malu. Kena marah dengan cikgu baru nak malu! Tadi tengah angau. Nie baru nak sedar. Ingatkan lama sedar, tak sampai 5 minit, buat balik. Mak bapak tak pernah bagi didikan agama ke kat rumah? Ke hanya harap kat guru agama kat sekolah? Mana sempat nak fokus pada anak tuan dan puan sahaja. 1 kelas ada dekat 35 orang. Mana sempat nak bagi perhatian kat anak tuan dan puan.

Jangan lepaskan tanggungjawab pada guru 100%. Tuan puan yang bertanggungjawab mewujudkan dia di muka bumi ini, jadi kenapa lepaskan tanggungjawab mendidik pada orang lain?
Tuhan tak tanya orang lain dulu kat akhirat nanti, tapi Dia tanya tuan dan puan dulu. Haa...masa tu jenuh la nak jawab. Berpeluh sampai banjir. Sibuk sangat dengan urusan dunia sampai anak sendiri tak sempat nak corakkan. Anak ibarat kain putih. Kalau nak corakkan bagi cantik, kena ada masa yang lebih panjang untuk mereka. Kena fokus masa buat kerja tu. Kena bagi kasih sayang pada mereka. Kena hukum mereka jika mereka salah. Macam nak buat corak batik la. Kena lilinkan dulu baru dapat corak yang cantik. Lilin tu panas, tapi kena letak jugak supaya nanti coraknya teratur. Warna tidak bercampur. Anak pun begitu jugak. Walaupun menyakitkan diri sendiri untuk memukul anak, tetapi tetap kena pukul untuk mendidik. Bukan untuk mendera. Semua nie supaya mereka cantik budi pekerti dan berakhlak mulia.

Mudah-mudahan leteran nie dapat jadi manfaat untuk semua. Sekian, wassalam.
Sebarang komen adalah dialu-alukan...

Thursday, July 16, 2009

PPSMI dimansuhkan, apa pendapat anda?

Keputusan kerajaan malaysia memansuhkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dilihat mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Justeru, pelbagai perbincangan dianjurkan untuk meleraikan kekusutan dalam mengatasi masalah ini. Disamping itu, undian juga turut diadakan untuk mengettahui pandangan masyarakat tentang pemansuhan tersebut. Walaubagaimanapun, undian yang dijalankan melalui internet dilihat tidak begitu adil memandangkan ia tidak melibatkan keseluruhan rakyat malaysia. Apapun pendapat yang kita zahirkan, hakikatnya keputusan kabinet adalah muktamat dan tidak akan berubah. Sebagai seorang guru, saya menyokong penuh keputusan ini walaupun terdapat pro dan kontra dalam perlaksanaannya. Apa yang menyedihkan, pelajar telah menjadi mangsa kepada program PPSMI dan menjadi bahan ujikaji ke atas suatu dasar yang tidak dikaji terlebih dahulu sebelum dilaksanakan sebelum ini.

Jika ada pendapat, silakan memberi komen. Tiada pendapat yang benar dan salah. Hanyasanya Hadis dan Sunnah Rasullullah serta Al-Quran sahaja merupakan sumber segala kebenaran dalam alam ini.
Sekian, terima kasih.....

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan kepada semua pengujung blog cikguahmadfaizal ini.

Saya sebagai moderator mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua insan yang sudi mengunjungi blog ini bagi mendapatkan dan membincangkan sebarang informasi tentang kehidupan kita di dunia ini.

Sesungguhnya saya amat berbangga kerana dapat menzahirkan pendapat di dalam ruangan siber ini sekaligus berkongsi segala pengalaman dan pengetahuan bersama semua pelayar internet sekalian. Sekiranya terdapat sebarang salah silap di dalam menyampaikan informasi, saya terlebih dahulu memohon ribuan ampun dan maaf.

Kritikan membina dan bertunjangkan keikhlasan amat dialu-alukan.

Sekian terima kasih.